top of page
Search

Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Kes Telur Penyu

Updated: Oct 6

KUCHING: Dua bekas penjawat awam masing-masing menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi mengekalkan hukuman terhadap mereka selepas menolak rayuan pihak pendakwaan bagi mengenepikan keputusan hukuman di Mahkamah Sesyen, atas kesalahan memiliki telur penyu tanpa kebenaran pengawal hidupan liar.



Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan mendapati tiada asas kukuh untuk campur tangan bagi hukuman yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen terhadap Nurashwan Sulaiman, 23, dan Supani Jumal, 65.


Selain itu, mahkamah turut meneliti dan mempertimbangkan terhadap bahan bukti, dokumen dalam rekod rayuan, hujah bertulis pihak perayu dan responden dan mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak.


Sebelum ini, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 37 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.


Nurashwan merupakan bekas kakitangan Lembaga Pengurusan Penyu didakwa memiliki 529 biji telur penyu di sebuah jalan berdekatan Jeti Trusan Jaya 1, Sematan, sekitar jam 12.30 tengah hari, 11 Oktober 2023.


Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM26,450 atau penjara enam bulan bagi kesalahan terbabit.


Manakala, Supani merupakan bekas anggota polis menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen terbabit kerana memiliki 40 biji telur penyu dan 190 biji telur penyu di dua tempat berbeza.


Dia memiliki telur penyu itu di dua tempat berasingan iaitu sebuah premis di Pasar Sematan dan di sebuah rumah di Kampung Tanah Hitam, antara jam 9.35 malam dan 10.00 malam, 12 Ogos 2023.


Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman denda RM9,600 atau 11 bulan penjara terhadap Supani.


Berdasarkan fakta kes kedua-dua tertuduh, Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang kebenaran daripada pengawal hidupan liar dalam satu serbuan mengenai telur penyu yang mereka miliki.


Hasil siasatan mendedahkan telur penyu yang dirampas adalah spesis Chelonidae, haiwan yang dilindungi sepenuhnya seperti yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual Pertama dalam Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.


Selain itu juga, kedua-dua tertuduh juga telah membayar denda yang dikenakan terhadap mereka.


Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SFC Roland Felix Hardin dan Pegawai Pendakwa Christie Sereni Philimon.


Manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Ralph Lee dan Christopher Bada.



Eye-level view of a federal courthouse building

 
 
 

Comments


  • Instagram
  • Facebook
  • Twitter
  • LinkedIn
  • YouTube
  • TikTok

​RALPH ADVOCATES

+60 11-1612 2332

No.23, 1st Floor, Jalan Tabuan, 93100 Kuching, Sarawak

  • Facebook
  • Instagram
  • X
  • TikTok

Your Legal Resource

 

© 2025 by RALPH ADVOCATES

 

bottom of page