Dua lagi dipenjara kes bunuh di Batu Kawa
- RALPH ADVOCATES
- Oct 8
- 2 min read
KUCHING: Seorang pekerja am dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat seorang pengawal keselamatan, 30 Oktober lepas.
Hartley Tuntun Jerah, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan semasa prosiding di Mahkamah Majistret 2 dan didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, dia dan seorang lagi suspek yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan berusia 51 tahun di tangga sebuah hotel di Batu Kawa di sini pada 30 Oktober lalu, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi.
Sehubungan itu, Mahkamah Majistret memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari 9 November 2023 dengan pendakwaan bagi kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asymawi Ghazali.
Sementara itu dalam prosiding yang sama, seorang lelaki berusia 19 tahun yang turut terlibat dalam kejadian mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan salah seorang ibu atau bapa sebagai penjamin selain menetapkan kes disebut semula pada 18 Disember 2023 untuk mendengar laporan sosial tertuduh.
Tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di balai polis terdekat setiap dua minggu selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Dalam prosiding berasingan, tertuduh ketiga iaitu Ayu Abdullah,25, dihukum penjara lima tahun bermula 8 November 2023 di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 304(b) kanun sama atas tuduhan bersubahat.
Ayu mengaku bersalah di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan atas tuduhan bersubahat dengan suaminya, Ashley Austin Chin, 25, kerana menyebabkan kematian mangsa.
Dalam pada itu, Hartley dan Ayu tidak diwakili peguam, sementara pesalah lelaki berusia 19 tahun terbabit diwakili Ralph Lee serta setakat ini, seramai 11 individu telah dihadapkan ke mahkamah untuk kes ini.
Dua daripadanya adalah Ashley Austin Chin, 25, dan Albert Chin Quan Yan, 22, yang masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan apabila didakwa di Mahkamah Majistret pada Jumaat, 11 November 2023.
Sementara empat pesalah muda dan dua pesalah kanak-kanak berusia antara 15 hingga 18 tahun yang turut mengaku bersalah pada Jumaat kerana terlibat dalam kes sama dijadualkan hadir semula ke mahkamah pada 7 Disember 2023 untuk mendengar laporan sosial dan laporan akhlak masing-masing.
Ketika kejadian, mangsa telah dipukul oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali sebelum dibawa ke hospital pada 30 Oktober untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023.
Bedah siasat yang dijalankan mengesahkan mangsa meninggal dunia kerana kecederaan di kepala.



Comments